tinggalkan link blog anda disini :)

Sunday 6 September 2015

PROJEK CINTA ILAHI






Ini bukan projek memikat suami, bukan juga projek memikat isteri, bahkan bukan pula projek memikat pihak sana ataupun pihak sini.
Projek ini kebarangkaliannya untuk berjaya, sangat pasti. Yakin.
Kerana, projek ini bukanlah perkara yang sia-sia dan pasti tidak akan disia-siakan.
Bermula dengan niat yang luhur dan murni, dan cuba mempraktikkannya, sedikit demi sedikit, pasti ada ganjarannya.
Setiap usaha kecil sehinggalah usaha yang semakin rancak memuncak, semuanya diambil kira. Kiraan itu, lebih mahal, lebih berharga daripada duit yang berada dengan diri kita.
InsyaAllah. Dan saya namakan, projek ini ialah projek pikat Allah swt.
Allah swt itu Tuhan sekalian alam. Juga Allah swt tidak sama seperti kita dan juga makhluk-makhluk lain. Allah swt tidak diciptakan, akan tetapi DIA yang menciptakan.
Allah swt itu tidak menyembah, akan tetapi kita yang menyembah. Allah swt itu tidak mempunyai keluarga, keturunan, dan kerabat. Sebaliknya kita yang beranak pinak dan bercucu-cicit.
Ini kerana Allah swt itu Maha Esa.

Projek pertama

Masih ingat lagikah kita peristiwa turunnya ayat al-quran yang pertama? Peristiwa dimana malaikat Jibril bertemu dengan Rasulullah saw dan membacakan surah al-‘alaq.
Lalu, Rasulullah saw pun membacanya.
Dan alhamdulillah, telah sampai apa yang dibacakan oleh kekasih Allah swt itu pada kita hari ini. Hari ini, kita bukan sahaja membaca semata.
Kita cuba menghafal sebaik mungkin, kita belajar memperbaiki sebutan dengan memasuki kelas pengajian tajwid, dan kita belajar lagi sedikit sebanyak tafsir al-quran untuk lebih memahami.
Subhanallah. Dalam semua itu, ia termasuk dalam kerangka ilmu. Projek pertama untuk memikat Allah swt adalah dengan ilmu. Dan sebaik-baik ilmu adalah ilmu mengenal Allah swt.
Namun, dalam keghairahan kita mencari dan menggali ilmu, perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Ilmu mungkin kita boleh dapat dimana-mana.
Melalui buku, teknologi, sekolah, pusat tuisyen, usrah, dan universiti kehidupan.
Akan tetapi, sebaik-baik menuntut, mencari ilmu itu adalah dengan pergi kepada ahlinya. Iaitu berguru dengan alim ulama.
Kerana, Rasulullah saw sendiri belajar al-quran itu dengan malaikat. Di sini, bukanlah ingin menyatakan bahawa Jibril itu lebih pintar dan lebih cerdik berbanding dengan Rasulullah saw.
Sebaliknya ingin dijelaskan bahawa, pentingnya berguru itu. Kerana dengan berguru, seorang anak murid itu bukan sekadar dapat ilmu sahaja.
Boleh jadi, anak murid tersebut dapat nasihat atau hikmah, adab atau akhlak, dan sekiranya ada kesilapan, para guru akan cuba membantunya.
Sebab itu, Islam agama yang benar dan orang Islam itu sentiasa menegakkan kebenaran dengan memperbaharui segala kesilapan.

Projek kedua

Amal. Selepas kita belajar, kita akan berasa ingin melakukannya.
Kekadang, terasa tidak sabar dan tidak tertahan yang amat. Di dalam perkara ini, orang yang belajar dan memiliki ilmu, pasti ia tidak akan bergerak dan beramal tanpa ilmu.
Mereka ini lebih tenang, dan berstrategi untuk melaksanakan sesuatu berbanding orang yang tiada ilmu yang bergerak secara gopoh-gapah dan melulu.
Kerana ilmu itu adab. Dan sudah pasti, orang yang memiliki ilmu itu akan mengenali tangga-tangga amalan.
Amal tidak hanya termaktub pada perkara-perkara yang wajib sahaja. Dalam beramal, kita ada juga perkara-perkara tambahan iaitu perkara-perkara sunat.
Ia ibarat, yang fardhu itu adalah modal perniagaan kita, dan amal yang sunat itu ialah keuntungan perniagaan kita.
Justeru, jika seseorang itu ingin lebih banyak keuntungan, ia akan melakukan serta mendirikan amalan-amalan sunat. Bahkan dia lebih bersungguh-sungguh dan berkerja keras lagi.
Dan Allah swt suka akan para hambaNya yang beramal semata-mata kerana ingin dekat denganNya.

Projek terakhir Memikat Tuhan

Yang terakhir adalah taubat.
Taubat yang dimaksudkan disini ialah, dengan sentiasa memperbaiki diri kita.
Seorang muslim itu tidak akan merasa dirinya baik bahkan lebih baik sekalipun orang sekelilingnya mengatakan ataupun menggelarkan dirinya itu baik.
Kerana, kita baik bukanlah semuanya sebab kita.
Boleh jadi, diri kita baik sebab doa keluarga kita, doa kawan-kawan kita, doa para guru kita, doa orang yang bukan muslim, doa daripada haiwan dan tumbuh-tumbuhan, doa daripada para malaikat, dan doa daripada para nabi.
Adalah tidak wajar andai kita berbangga dengan diri sendiri. Apa yang perlu, sangka baik dan lakukan kerja-kerja yang baik walaupun kerja itu adalah diam.
Kerana sifat makhluk Tuhan sangat berbatas. Berlebih-lebihan boleh membawa seseorang itu ke lembah binasa.
Seperti makan yang melampau. Apabila perut sudah membuncit akibat kekenyangan, maka mudahlah iblis menganggu dengan membisikkan lafaz malas. Yang rugi, kita sendiri.
Kesimpulan 
Ilmu itu sebagai mukadimah serta penerangan awal sebelum kita beramal dan bertindak melakukan sesuatu. Orang yang belajar dan memiliki ilmu, adalah lebih baik dalam amalannya.
Berbanding orang yang beramal tanpa ilmu, mudah dirinya itu ditipu dan tertipu. Dan taubat itu sebagai kredit seorang hamba yang sentiasa terdedah dengan perkara-perkara mungkar dan sia-sia.
Kekadang, kita ini ada ilmu tetapi malas beramal.
Pun begitu, terlebih semangat dalam beramal sehinggakan kita menggabaikan tuntutan yang lebih utama iaitu menuntut ilmu.
Jadi, dengan sedikit perkongsian resipi projek ini, moga-moga Allah swt akan mencintai diri kita dengan bermulanya cinta kita kepadanya.
Semoga berjaya!
*****
Artikel ini adalah disumbangkan oleh Sahabat kita yang mahu dirahsiakan nama beliau. Blog beliau boleh dilayari di: http://niddurisan.blogspot.com/



No comments:

Post a Comment